::NABI MELEWATKAN SOLAT ISYAK::
Amalan melewatkan solat Isyak sememangnya tercatat di dalam nas atau dalil dari hadis nabawi yang mulia. Namun ada sebahagain yang tersalah memahami konsep melewatkan Isyak. Ada di antara mereka yang menyangka bahawa disunatkan melewatkan Isyak untuk bangun solat malam atau qiyamullail. Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini? Semoga artikel ringkas dapat memberi manfaat.
Terdapat beberapa riwayat hadis yang sahih menjelaskan bahawa Rasulullah ﷺ melewatkan solat Isyak pada sepertiga awal malam dan pertengahan malam sepertimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik radiyallahu ‘anhu:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ أَخَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاةَ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ ثُمَّ صَلَّى ثُمَّ قَالَ قَدْ صَلَّى النَّاسُ وَنَامُوا أَمَا إِنَّكُمْ فِي صَلَاةٍ مَا انْتَظَرْتُمُوهَا. رواه البخاري
Maksudnya: Anas bin Malik Radiyallahu ‘anhu berkata, “Nabi ﷺ telah melewatkan solat Isyak sehingga pertengahan malam, setelah mengerjakan solat lalu Baginda bersabda, “Manusia telah melaksanakan solat(awal waktu) dan tidur, manakala kamu berada di dalam solat selagimana kamu menanti ia(solat untuk didirikan)”.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari:
واستدل بذلك على فضل تأخير صلاة العشاء ولا يعارض ذلك فضيلة أول الوقت لما في الانتظار من الفضل
Maksudnya: Dengan hadith ini dijadikan dalil mengenai kelebihan melewatkan solat Isyak, malah ia tidak bertentangan dengan fadilah solat di awal waktu kerana pada penantian solat wujudnya sebahagian fadilat.
Pensyariatan amalan melewatkan solat Isyak dikuatkan lagi dengan riwayat yang mana Baginda ﷺ menggalakkan umatnya agar melewatkan solat tersebut, sepertimana yang diriwayatkan di dalam sepotong hadis:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ أَنْ يُؤَخِّرُوا الْعِشَاءَ إلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ أَوْ نِصْفِهِ .رواه الترميذي وابن ماجه
Maksudnya: Rasulullah ﷺ bersabda, “Jika aku tidak menyusahkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka supaya melewatkan solat Isyak sehingga sepertiga malam atau sebahagiannya.” (Hadis Tirmizi dan Ibn Majah)
Namun begitu ada riwayat yang menyatakan bahawa Baginda tidak sentiasa melewatkan solat Isyak, malah Baginda bertukar-tukar waktu perlaksanaannya berdasarkan beberapa situasi, seperti yang dinyatakan dalam riwayat di bawah:
عن جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللهِ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ - صلى الله عليه وسلم - يُصَلِّي الظُّهْرَ بِالْهَاجِرَةِ، وَالْعَصْرَ وَالشَّمْسُ حَيَّةٌ بَيْضَاءُ نَقِيَّةٌ، وَالْمَغْرِبَ إِذَا وَجَبَتِ الشَّمْسُ، وَالْعِشَاءَ أَحْيَانًا كَانَ إِذَا رَآهُمْ قَدِ اجْتَمَعُوا عَجَّلَ، وَإِذَا رَآهُمْ قَدْ أَبْطَئُوا أَخَّرَ. متفق عليه
Maksudnya: Jabir bin Abdullah Radiyallahu ‘anhu berkata, “Rasulullah ﷺ mengerjakan solat Zuhur ketika panas terik, solat Asar ketika matahari masih cerah, solat Maghrib setelah terbenam matahari dan solat Isyak adakalanya awal dan adakala dilewatkan. Apabila Baginda melihat orang ramai telah berkumpul (di masjid) maka Baginda akan mendirikan solat Isyak pada awal waktu, apabila Baginda mendapati mereka lewat berkumpul, maka Baginda akan melewatkan Isyak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
APAKAH SEBAB NABI MELEWATKAN ISYAK?
Antara sebab Rasulullah ﷺ melewatkan solat Isyak untuk memberi ruang kepada para sahabat mendapat pahala yang besar kerana menunggu solat didirikan, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Syamsuddin al-Kirmani di dalam Syarah Sahih Bukhari beliau:
وفيه إباحة تأخير العشاء إذا علم أن بالقوم قوة على انتظارها ليحصل لهم فضل الانتظار لأن المنتظر للصلاة فى صلاة.
Maksudnya: Hadis ini menunjukkan keharusan melewatkan solat Isyak jika diketahui bahawa orang ramai mempunyai keupayaan menunggu solat supaya memberi peluang kepada mereka untuk mendapat ganjaran fadilah menunggu solat, ini kerana menunggu solat untuk didirikan (pahalanya) sama seperti menyerjakan solat.
baca selanjutnya di sini: Facebook Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil