1 Hari 1 Hadis


Kanal geosi va tili: Eron, Forscha
Toifa: ko‘rsatilmagan


Perkongsian Hadis Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

Связанные каналы  |  Похожие каналы

Kanal geosi va tili
Eron, Forscha
Toifa
ko‘rsatilmagan
Statistika
Postlar filtri


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Yang Tidak Ditinggalkan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: "Kekasihku Rasulullah SAW memberi wasiat kepadaku agar aku berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, mendirikan solat Dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur". (HR Bukhari: No 1845) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mewasiatkan agar tidak meninggalkan tiga amalan sunat yang ringan namun memberi manfaat yang besar untuk roh dan jasmani:

a.  Puasa sunat tiga hari sebulan
b.  Menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat setiap hari
c.  Solat witir setiap malam sebagai penutup malam

2. Puasa sunat tiga hari setiap bulan seperti puasa pada hari puteh (13, 14 dan 15hb) atau puasa hari isnin dan khamis mampu mendidik jiwa untuk sabar, ikhlas, dan bersyukur atas nikmat Allah SWT. Ia juga menjadi latihan spiritual yang menambah ketakwaan.

3. Solat Dhuha dilaksanakan selepas terbit matahari hingga sebelum waktu Zuhur. Ia adalah solat sunat yang sangat digalakkan kerana ia menjadi sebab keberkatan rezeki dan penghapusan dosa kecil.

4. Solat Witir adalah penutup bagi ibadah solat malam. Bagi yang tidak mampu bangun malam, disarankan agar melaksanakannya sebelum tidur supaya tidak terlepas amalan ini. Solat Witir menjadi penyempurna bagi ibadah solat seharian.

Sempena kita berada di bulan Rejab yang mulia serta sebagai persiapan menemui Ramadan, marilah kita laksanakan ketiga-tiga wasiat Rasulullah ini. Usahakanlah untuk berpuasa sunat, solat sunat dhuha juga solat sunat witir setiap hari.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

13hb Rejab 1446H
13hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Al-Quran dan Puasa Pemberi Syafaat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

Daripada Abdullah bin Amru RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa dan al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat nanti. Puasa akan berkata : "Wahai Rabb ku, saya telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwatnya, kerananya perkenanankan aku untuk memberi syafaat kepada nya (kepada orang yang berpuasa)." Dan al-Quran berkata : "Saya telah melarangnya daripada tidur pada malam hari, kerananya perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya." Baginda bersabda : "Maka syafaat keduanya diperkenankan." (Musnad Ahmad No: 6589) Dar Ihya Turath Arab. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Puasa dan al-Quran akan menjadi penolong dan pemberi syafaat kepada pencinta dan pengamalnya pada hari Kiamat.

2.  Orang yang berpuasa semasa di dunia, puasa akan  menolongnya dan memberi syafaat kerana semasa di dunia dahulu, orang yang berpuasa telah menahan diri dari makan dan minum di siang hari serta mengekang nafsunya.

3.  Orang yang menyibukkan diri dengan al-Quran  (membaca hingga terpaksa menyengkang mata di malam hari), al-Quran akan menjadi syafaat serta penolong di hari kiamat.

4.  Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya.

5.  Kita berada di bulan Rejab, salah satu daripada bulan bulan haram yang mulia serta digalakkan melakukan amal soleh antaranya memperbanyakkan berpuasa sunat isnin, khamis juga puasa hari puteh 13, 14 dan 15 hb bulan Rejab. Memperbanyakkan membaca al-Quran  dalam kerangka mendekatkan diri kepada Allah. Moga ia menjadi persiapan untuk beribadat di bulan Ramadan.

Semoga ibadat puasa dan al-Quran memberi syafaat buat kita kelak.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

12hb Rejab 1446H
12hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir dan Doa Yang Afdhal

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ كَثِيرٍ الأَنْصَارِيُّ قَالَ: سَمِعْتُ طَلْحَةَ بْنَ خِرَاشٍ قَالَ: سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: أَفْضَلُ الذِّكْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الحَمْدُ لِلَّهِ

Telah menceritakan kepada kami Musa bin Ibrahim bin Katsir al-Ansari berkata, Aku mendengar Talhah bin Hirasyh berkata: Aku mendengar Jabir bin Abdullah berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Zikir yang paling afdhal (utama) ialah, “Tidak ada Tuhan selain Allah,” dan doa paling afdhal ialah, “Segala puji bagi Allah.” (HR Tirmizi No: 3383) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Zikrullah dan berdoa adalah suatu tuntutan dan keperluan kepada setiap Muslim

2. Zikir yang terbaik adalah kalimah tauhid  yang mengandungi inti pati ajaran Islam, menegaskan keesaan Allah SWT dan menghapuskan syirik:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Tidak ada Tuhan selain Allah

3. Kalimah Alhamdulillah mengandungi pujian dan Syukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya, ia adalah pengiktirafan terhadap kebesaran dan kemurahan Allah. Kalimah ini adalah Doa yang paling baik:
الحَمْدُ لِلَّهِ
Segala pujian hanyalah untuk Allah

4. Kalimah Alhamdulillah lebih baik dari harta yang dimiliki oleh seseorang walaupun sepenuh langit dan bumi.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " لَوْ أَنَّ الدُّنْيَا كُلَّهَا بِحَذَافِيرِهَا بِيَدِ رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي " ثُمَّ قَالَ : " الْحَمْدُ لِلَّهِ لَكَانَتِ الْحَمْدُ لِلَّهِ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ كُلِّهِ

Anas ra juga meriwayatkan , bahawa Nabi saw. Bersabda: seandainya dunia dan semua isinya berada ditangan seseorang dari ummatku kemudian ia mengucapkan Alhamdulillah, nescaya kalimat (Alhamdulillah) yang ucapkan itu lebih baik dari dunia dan isinya (Dailami 3/359 No: 5083)

Hadis ini menekankan kepentingan mengamalkan zikir "La ilaha illallah" dan doa "Alhamdulillah" sebagai amalan utama yang mendekatkan seorang hamba kepada Allah SWT. Dengan memperbanyakkan zikir dan syukur, seseorang akan memperoleh ketenangan hati, keberkatan dalam hidup, dan ganjaran besar di akhirat. Hadis ini mengajar bahawa amalan yang sederhana tetapi konsisten lebih bernilai di sisi Allah SWT. Marilah kita memperbanyakkan lafaz zikir dan doa terafdhal.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

11hb Rejab 1446H
11hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti Kepada Ibubapa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Daripada Abu Ad Darda dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Orang tua (ibubapa) adalah pintu syurga yang paling tengah, oleh kerana itu letakkanlah ia atau jagalah ia baik-baik." (Sunan Ibnu Majah No: 3653) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ibu dan bapa mempunyai kedudukan yang tinggi dan menjadi salah satu penyebab besar seorang anak memperoleh syurga.

2. Menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa kerana keredhaan ibu bapa menjadi antara jalan utama mencapai keredhaan Allah dan ganjaran syurga. Justeru seorang anak wajib menyayangi, menghormati dan taat kepada keduanya selagi tidak bertentangan dengan syarak.

3. Al-Qadhi Baidhawi: Cara terbaik untuk masuk syurga, dan cara mendapatkan darjat yang tinggi di syurga adalah dengan mentaati orang tua dan berusaha mengasihi dan berbakti padanya. Ada juga ulama yang mengatakan, ‘Di syurga ada banyak pintu. Yang paling selesa untuk dimasuki adalah yang paling tengah. Untuk membolehkan masuk ke syurga melalui pintu tengah itu adalah dengan berbakti kepada orang tua.’ (Tuhfatul Ahwadzi, 6/21).

4. Anak-anak yang tidak berbakti dan berbuat baik kepada orang tua, akan terlepas peluang ke syurga.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu baginda ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)." (HR Muslim No: 4628) Status: Sahih

5. Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia dengan mendoakannya, menunaikan hajat mereka serta menjaga hubungan baik dengan keluarga mereka.

6. Anak yang berbakti kepada ibu bapa akan meraih keredhaan Allah SWT, manakala mereka yang mengabaikan tanggungjawab ini akan kehilangan peluang besar untuk mendapat syurga. Oleh itu, umat Islam harus menjaga hubungan baik dengan ibu bapa dengan menghormati, melayani, dan memenuhi keperluan mereka sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

10hb Rejab 1446H
10hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir dan Doa Selepas Salam

كَتَبَ الْمُغِيرَةُ بْنُ شُعْبَةَ إِلَى مُعَاوِيَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا فَرَغَ مِنْ الصَّلَاةِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Mughirah bin Syu'bah pernah berkirim surat kepada Muawiyah, bahwa apabila Rasulullah SAW selesai solat dan mengucapkan salam, baginda memanjatkan doa: "LAA ILAAHA ILLALLAAH WAHDAHU LAA SYARIIKA LAH, LAHUL MULKU WALAHUL HAMDU WAHUWA 'ALAA KULLI SYAI'IN QADIIR, ALLAAHUMMA LAA MAANI'A LIMAA A'THAITA WALAA MU'THIYA LIMAA MANA'TA WALAA YANFA'U DZAL JADDI MINKAL JADD (Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nyalah segala kerajaan dan milik-Nyalah segala pujian, dan Dia Maha berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tiada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan, dan tidak ada yang dapat memberi apa yang Engkau halang, dan tidak akan memberi manfaat seseorang yang memiliki kekayaan atau kedudukan, daripada kekayaan atau kedudukan itu di sisi Mu)." (HR Muslim No: 933) Status Sahih

Pengajaran:

1. Antara perkara yang digalakkan selepas solat waktu ialah berzikir dan berdoa.

2. Antara zikir dan doa yang sunat dibaca selepas solat fardhu:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

3. Hadis ini mengajarkan amalan zikir yang mengukuhkan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Dengan melafazkan zikir dan doa ini, seorang Muslim menguatkan keimanan kepada tauhid, qadha’, dan qadar Allah SWT. Selain itu, ia mendidik jiwa untuk menjadi lebih tawaduk, bersyukur, dan bergantung kepada Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan.

4. Berdoalah agar menjadi orang mulia disisi Allah

لَيسَ شَيْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللهِ تَعَالَى مِنَ الدُّعَاءِ
Maksudnya: Tidak ada yang paling mulia di sisi Allah daripada doa (HR Ahmad : 362)

5. Hadis ini menunjukkan keutamaan zikir selepas solat sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia mengajar kita untuk sentiasa bersyukur, bertawakal, dan mengukuhkan keimanan kepada Allah. Dengan mengamalkan zikir ini, seseorang akan memperolehi ketenangan jiwa, keberkatan hidup, dan perlindungan daripada kesukaran dunia serta akhirat.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

09hb Rejab 1446H
09hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan kepada orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menziarahi orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua amalan itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga." (HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.

2.  Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW dalam mengamalkan ajaran Islam.

3.  Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4.  Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menziarahi orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat.

5.  Mukmin yang melaksanakan kewajipan ibadat individu seperti solat, puasa, zakat serta kewajipan untuk cakna kepada masyarakat seperti menghantar jenazah, ziarah orang sakit, menolong orang susah, pasti akan diberi ganjaran syurga.

Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

08hb Rejab 1446H
08hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mohon Keampunan dan Keselamatan

عن ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ: لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يدع هؤلاء الكلمات إذا أصبح وَإذا أَمْسَى: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Daripada Ibn Umar RA berkata: Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini pada waktu petang dan pagi: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Peliharalah aku dari hadapan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu daripada ancaman yang datang (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” (HR Abu Daud No: 5074) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut sentiasa berdoa memohon kepada Allah kerana ia adalah sebahagian daripada ibadah.

2.  Keselamatan di dunia dan akhirat adalah nikmat terbesar yang sering dilupakan manusia. Doa ini mengingatkan agar kita sentiasa mensyukuri nikmat tersebut.

3. Antara doa seorang Muslim adalah memohon keampunan iaitu  pelepasan daripada melakukan dosa dan memohon afiyah iaitu keselamatan di dunia dan akhirat.

3.  Syarah Sunan Ibn Majah menjelaskan: memohon ‘afiyah adalah memohon  keselamatan daripada sebarang kerosakan dan juga kesusahan. Menutup aib bermaksud menutup apa-apa yang memalukannya dan tidak disukai apabila ia dilihat oleh orang lain. Adapun, berilah ketenteraman di dalam hatiku bermaksud ketenangan hati daripada perasan takut, berbangga dan sebagainya. [Lihat: Syarah Sunan Ibn Majah, 1/276]

4.  Menurut Imam al-Nawawi: makna ‘afiyah di dalam doa di atas, adalah satu lafaz umum yang mana terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin serta agama sama ada di dunia dan juga di akhirat. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12]

5.  Syeikh al-Munawi menjelaskan: ‘afiyah bermaksud keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. [Lihat: Faidh al-Qadir, 107/4]

6.  Doa ini memohon keselamatan dan kesejahteraan pada agama daripada segala bentuk fitnah, pada tubuh badan daripada segala penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah. Hal ini termasuklah perlindungan daripada pelbagai wabak penyakit.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Doa ini mengandungi permohonan keampunan juga keselamatan hidup di dunia dan akhirat.  Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta melindungi kita daripada segala perkara yang tidak baik yang mungkin datang dari segala penjuru dan arah. Semoga kita selamat di dunia mahupun di hari akhirat.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

07hb Rejab 1446H
07hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Penuntut Ilmu Sentiasa Dirahmati

عَنْ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ الْمُرَادِيَّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Daripada Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata,  Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan." (Sunan Ibnu Majah No: 222)  Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Menuntut ilmu adalah suatu ibadah dan menjadi tuntutan ke atas setiap Muslim

2.  Setiap Muslim yang keluar dari rumah untuk menuntut ilmu akan sentiasa dinaungi para Malaikat.

3.  Menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada golongan pelajar di peringkat sekolah mahupun Institut Pengajian Tinggi, malah setiap masa, tempat dan usia seperti di masjid, surau, termasuklah secara online dan lain-lain.

4.  Allah mengangkat darjat orang yang berilmu lebih tinggi dari yang lain:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

5. Malaikat sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka yang ikhlas menuntut ilmu. Doa dan keberkatan ini menjadi asbab kejayaan di dunia dan akhirat.

6. Rasulullah mengajar kita berdoa agar mendapat ilmu bermanfaat

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Daripada Ummu Salamah berkata, "Selepas salam dalam solat subuh Nabi SAW mengucapkan: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima (Ibn Majah No 915) Status: Hadis Sahih

Marilah kita memulakan azam tahun baru 2025 ini untuk sentiasa menambah ilmu. Dengan ilmu, seorang Muslim dapat memahami agama dengan lebih baik, mengamalkan ajaran Islam, dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain. Semoga dengan ilmu yang bermanfaat membawa kita menjadi orang yang bertaqwa, menjadikan kita warganegara yang “celik” “bijak” dan “cerdik” bukan hanya untuk dunia malah juga untuk akhirat kelak.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

06hb Rejab 1446H
06hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Elak Mudarat

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ قَالَ: أَمَا لَوْ قُلْتَ حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَمْ تَضُرَّكَ

Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu: Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta”, nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudharatkan kamu.” (HR Muslim No: 2709) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana ia menghubungkan di antara seorang hamba dengan Pencipta (Allah SWT).

2.  Rasulullah SAW mengajarkan doa agar dijauhkan daripada bahaya kejahatan makhluk seperti binatang berbisa, kejahatan syaitan juga musibah lain jika dibaca pada waktu petang atau malam:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta”

3. Dalam hadis lain, yang diriwayatkan daripada Suhail bin Abu Soleh, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ حِينَ يُمْسِي ثَلاَثَ مَرَّاتٍ : أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ ، لَمْ يَضُرَّهُ حُمَةٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ

Barangsiapa yang mengucapkan pada waktu petang tiga kali: “Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta”, tidak akan terkena sengatan binatang berbisa pada malam itu.” (HR Tirmizi No: 3604)

Suhail (perawi hadis ini) berkata: “Keluarga kami mempelajarinya dan  mengucapkannya pada setiap malam, hingga tiba suatu hari seorang anak perempuan kami disengat oleh seekor binatang, namun dia tidak merasa sakit sedikit pun.” (Lihat Sunan al-Tirmizi, 5/475)

4.   Hadis ini mengajar pentingnya membaca doa perlindungan sebagai amalan harian, khususnya pada waktu petang. Kalimah Allah yang sempurna menjadi perisai bagi orang beriman daripada bahaya yang nyata atau tersembunyi. Amalan ini juga melahirkan sikap tawakal kepada Allah SWT, sambil menyedari bahawa Dialah pelindung utama daripada segala kejahatan. Seorang Muslim yang mengamalkan doa ini akan merasa tenang, yakin, dan terlindung di bawah rahmat Allah.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

05hb Rejab 1446H
05hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Buat Yang Terbaik Minta Yang Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّة وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّة

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di Syurga itu ada seratus tingkatan yang telah Allah sediakan bagi mereka yang berjihad di jalan Allah. Jarak antara satu tingkatan dengan tingkatan lainnya itu bagaikan jarak antara langit dan bumi. Apabila kalian berdoa memohon kepada Allah maka mintalah kepada-Nya Syurga Firdaus, kerana Syurga Firdaus adalah Syurga yang paling tengah dan paling atas (tinggi). Di atasnya terdapat ‘Arsy Allah Dzat Yang Maha Pengasih. Dari Syurga Firdaus itulah seluruh mata air sungai-sungai Syurga mengalir” (HR Bukhari No: 2581) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Setiap kita sentiasa mengharapkan untuk menjadi orang yang paling baik dan cemerlang dalam hidup di dunia dan akhirat.

2.  Mendapat ganjaran Syurga di hari akhirat amat diharapkan oleh setiap orang. Rasulullah SAW menyuruh berdoa agar mendapat Syurga yang paling baik iaitu Syurga Firdaus.

Dalam hadis dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda tentang Syurga Firdaus;

الْفِرْدَوْسُ رَبْوَةُ الْجَنَّةِ وَأَوْسَطُهَا وَأَفْضَلُهَا

Maksudnya: Firdaus adalah syurga yang paling tinggi, yang paling bagus, dan yang paling afdhal. (HR Tirmizi No 3174) Status hadis Sahih.

3.  Menjadi cemerlang dan terbaik menuntut kita berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memperolehinya.  Saidina Ali pernah berkata: “Biarlah cita-cita engkau setinggi langit, kalau pun engkau tidak mencapai semuanya, sebahagiannya adalah lebih dari setinggi-tinggi cita-cita yang dari mulanya lagi telah rendah”. 

4.  Kecemerlangan tidak dianugerahkan kepada orang yang melakukan usaha sambil lewa tetapi yang berlumba dan bersungguh-sungguh melakukan kebaikan.

5.  Dalam kita berdoa, mintalah yang paling baik dan diredhai Allah antaranya meminta agar dimasukkan ke dalam Syurga Firdaus.

Mari kita mulakan tahun baru 2025 dengan azam terbaik dan doa terbaik dari kita.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

04hb Rejab 1446H
04hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.” (HR. Ibnu Majah no. 237) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menciptakan manusia yang pelbagai. Ada diantara manusia yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan.

2.  Namun terdapat di antara manusia yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan.

3.  Beruntunglah kepada orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya.

4.  Orang yang ingin dirinya menjadi pembuka pintu kebaikan serta menjadi penutup pintu keburukan, maka hendaklah melakukan hal-hal berikut:

a.  Mengikhlaskan segala perbuatan dan perkataan hanya untuk beribadah kepada Allah dan jadikan ia sebagai sumber kebaikan dan kemuliaan kita.

b.  Berdoa kepada Allah agar diberi taufik menjadi seseorang pembuka pintu kebaikan, kerana doa adalah kunci segala kebaikan.

c.  Bersungguh dalam menuntut ilmu kerana ilmu mendorong seseorang kepada kebaikan dan kemuliaan.

d.  Sentiasa beribadah kepada Allah, khususnya solat, kerana solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan munkar.

e.  Bersikap dengan akhlak yang mulia dan lemah lembut, serta jauh dari akhlak yang buruk dan tidak beradab.

f.  Bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan sering bersama mereka. Menasihati orang lain, baik yang dikenali atau tidak, agar kebaikan bersama kita dan jauh dari maksiat.

g.  Sentiasa ingat hari pembalasan agar kita sentiasa berbuat amal kebaikan sebagai bekalan

h.  Sentiasa berusaha memberi manfaat kepada yang lain.

Sempena tahun baru 2025, marilah kita berusaha menjadi pembuka pintu kebaikan dan sentiasa menutup pintu keburukan.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

03hb Rejab 1446H
03hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَالَ فِي دُبُرِ صَلاَةِ الفَجْرِ وَهُوَ ثَانٍ رِجْلَيْهِ قَبْلَ أَنْ يَتَكَلَّمَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ عَشْرَ مَرَّاتٍ كُتِبَتْ لَهُ عَشْرُ حَسَنَاتٍ وَمُحِيَ عَنْهُ عَشْرُ سَيِّئَاتٍ وَرُفِعَ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ وَكَانَ يَوْمَهُ ذَلِكَ كُلَّهُ فِي حِرْزٍ مِنْ كُلِّ مَكْرُوهٍ وَحُرِسَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَلَمْ يَنْبَغِ لِذَنْبٍ أَنْ يُدْرِكَهُ فِي ذَلِكَ اليَوْمِ إِلاَّ الشِّرْكَ بِاللَّهِ.

Daripada Abu Dzar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: "Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata dia membaca: Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah tidak ada sekutu bagi-Nya, semua kerajaan milik-Nya dan bagi-Nya seluruh pujian, Dia yang menghidupkan, serta mematikan, dan Dia Maha Mampu melakukan segala sesuatu, sebanyak 10 kali, maka tercatat untuknya sepuluh kebaikan dan terhapus darinya sepuluh kesalahan serta diangkat untuknya sepuluh darjat, dan pada hari itu dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini, serta terjaga dari Syaitan, begitu juga tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu kecuali syirik kepada Allah." (HR Tirmidzi No: 3474) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim digalakkan berzikir dan berdoa selepas solat.

2.  Antara zikir yang dianjurkan untuk dibaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata yang lain adalah;

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Barang siapa membaca sebanyak 10 kali, maka:

a)  Dicatat untuknya sepuluh kebaikan
b)  Terhapus daripadanya sepuluh kesalahan
c)  Diangkat untuknya sepuluh darjat
d)  Pada hari tersebut dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini
e)  Terjaga dari Syaitan pada hari tersebut
f)  Tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu (terampun) kecuali dosa syirik kepada Allah

3.  Orang yang membaca zikir ini selepas solat subuh sebanyak 10 kali dalam keadaan masih duduk seperti tahiyat akhir dan belum bercakap yang lain, maka akan terpelihara daripada sesuatu yang tidak diingini termasuklah pelbagai penyakit juga dilindungi dari mara bahaya yang lain.

Marilah kita mulakan awal tahun baharu Masihi 2025 ini untuk mengamalkan wirid ini selepas solat fardhu subuh juga maghrib. Moga kita sentiasa mendapat kebaikan dan terpelihara dari sebarang keburukan dan dosa.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

02hb Rejab 1446H
02hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rejab Bulan Haram

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏   الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

2.  Mengikut Syeikh Mustafa al-Bugho, perkataan Mudhor pada Rejab ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain.

3.  Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

4.  Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

5.  Bulan Rejab antara empat bulan Haram dimana kita digalak  menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut.

6.  Kita telah memasuki bulan Rejab, Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Maksudnya: Bulan Rejab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi sebagai persiapan bertemu Ramadan nanti.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

01hb Rejab 1446H
01hb Januari 2025

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Diberikan Hidayah, Taqwa, Afaf dan Kecukupan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) daripada Nabi SAW bahawasanya baginda SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan kecukupan (tidak meminta-minta)." (HR Muslim  No: 2721) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar kita berdoa agar dikurniakan petunjuk, memiliki sifat taqwa, dikurniakan sifat ‘afaf (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan ghina (tidak meminta-minta).

2.  Hidayah ialah petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT. Tiada seorang pun yang mendapat hidayah melainkan hanya Allah sahaja yang memberikannya.

3.  Setiap orang perlu meminta hidayah kepada Allah, agar dibimbing untuk mengukuhkan keimanannya, meningkatkan amal solehnya dan tutur bicaranya serta akhlak yang baik dalam menghadapi pelbagai masalah dunia dan akhirat.

4.  Jika seseorang yang menginginkan agar dirinya diberi hidayah untuk menjadi seorang Muslim yang baik, bertaqwa, dapat menjalani kehidupan ini dengan baik, selamat, hati yang damai dan terhindar daripada perbuatan yang buruk, maka mintalah hanya kepada Allah SWT, bukan kepada yang lain.

5.  Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: mengatakan, “”Afaf bermakna menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak diperbolehkan. Sedangkan al-ghina adalah hati yang selalu merasa cukup dan tidak perlu kepada apa yang ada di sisi manusia.”

6.  Marilah sempena kehadiran tahun baru 2025 ini, kita perbanyakkan berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan al-ghina (kecukupan serta tidak meminta-minta)

Rasulullah mengajar kita agar meminta empat perkara dalam doa ini:

a.  Al-huda iaitu petunjuk dalam ilmu dan amal.

b.  Al-taqwa iaitu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan.

c.  Al-afaf iaitu dijauhkan dari perkara yang diharamkan seperti zina dan yang seumpamanya.

d.  Al-ghina iaitu dicukupkan oleh Allah dari apa yang ada di sisi manusia dengan sifat qonaah, selalu merasa cukup ketika Allah memberinya harta sedikit atau pun banyak.

Moga dengan berakhirnya tahun masihi 2024 dan menjelangnya tahun 2025, Allah menganugerahkan kita dengan petunjuk yang akan memandu kita menjadi orang yang bertakwa serta memiliki sifat yang menjauhkan kita dari yang haram dan sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang ada.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

29hb Jamadil Akhir 1446H
31hb Disember 2024

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Pagi dan Petang

عَنْ أَبَانَ بْنِ عُثْمَانَ قَال سَمِعْتُ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ

Daripada Aban bin Utsman ia berkata; saya mendengar Utsman bin 'Affan RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang hamba setiap pagi dan petang hari mengucapkan; BISMILLAAHILLADZII LAA YADHURRU MA'AS MIHI SYAI UN FIL ARDHI WA LAA FIS SAMAAI WA HUWAS SAMII'UL 'ALIIM (Dengan menyebutkan nama Allah yang tidak ada sesuatupun dengan menyebut namaNya yang boleh memudaratkan di bumi mahupun di langit dengan izin-Nya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha mengetahui) sebanyak tiga kali melainkan ia tidak akan dimudaratkan oleh sesuatupun dengan izin Allah." (Sunan Tirmidzi No: 3310) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim dituntut untuk sentiasa berzikir dan berdoa kepada Allah.

2. Pelbagai jenis zikrullah dan doa boleh dibaca, sama ada mengikut peristiwa, perkara yang ingin dilakukan atau masa tertentu.

3. Ada zikir dan doa yang digalakkan untuk dibaca pada pagi dan petang, antaranya:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dengan menyebutkan nama Allah yang tidak ada sesuatupun dengan menyebut namaNya yang boleh memudaratkan di bumi mahupun di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha mengetahui

4. Barangsiapa yang membaca doa di atas pada pagi dan petang hari sebanyak 3 kali, dengan izin Allah, dia akan dijauhi dari sesuatu kecelakaan.

5. Doa ini mengajar kita untuk sentiasa bergantung kepada Allah dalam apa jua keadaan. Keyakinan bahawa hanya Allah yang berkuasa melindungi kita daripada bahaya menjadikan hati lebih tenang.

6. Hadis ini menegaskan bahawa tiada sesuatu pun yang dapat memberi manfaat atau mudarat melainkan dengan izin Allah.

Ayuh kita amalkan bacaan doa ini yang boleh dibaca sebaik-baiknya selepas solat Asar dan Subuh.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

28hb Jamadil Akhir 1446H
30hb Disember 2024

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pengadu Domba Tidak Masuk Syurga

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

Daripada Hudzaifah RA berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba'." (HR Muslim No: 151) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim perlu memperlihatkan akhlak mulia dan saling mengasihi.

2. Muslim dilarang menjadi pengadu domba, penghasut dan menyebarkan fitnah, gossip dan cerita yang boleh mencerai beraikan hubungan ukhuwah sesama Muslim.

3. Namimah atau pengadu domba tergolong dalam perbuatan dosa besar kerana ia melibatkan penipuan, pengkhianatan amanah, dan kerosakan masyarakat. Perbuatan ini boleh membawa kepada perpecahan keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.

4. Tidak akan masuk syurga orang yang menjadi pemfitnah dan pengadu domba. Namun jika dia bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah, Allah akan mengampuni dosa-dosanya.

5. Setiap Muslim perlu memainkan peranan aktif dalam menjaga ukhuwah dengan mencegah penyebaran gosip atau fitnah. Jangan biarkan diri menjadi medium untuk menyampaikan berita yang boleh merosakkan hubungan orang lain.

Jadilah kita orang yang menyembunyikan aib saudaranya, bukan pengadu domba. Berusahalah mengeratkan hubungan ukhuwah sesama kita serta berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

27hb Jamadil Akhir 1446H
29hb Disember 2024

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membela Muslim Yang Dizalimi Akan Terhindar Dari Neraka

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَرُدَّ عَنْهُ نَارَ جَهَنَّمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Darda' dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa membela harga diri saudaranya sesama Muslim (mempertahankan kehormatan dan maruah), maka sudah menjadi hak Allah untuk menghindarkannya daripada neraka pada hari Kiamat." (HR Tirmizi No: 1931) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Menjadi kewajipan seorang Muslim mempertahankan kehormatan dan maruah diri saudaranya yang diketahui seorang yang baik, jika ia dizalimi dengan umpatan, dihina, difitnah, atau diperleceh.

2. Orang yang mempertahankan kehormatan dan maruah diri saudara Muslim yang lain, nescaya Allah akan menghindarkannya daripada api neraka pada hari kiamat. Ganjaran ini mencerminkan betapa pentingnya sikap peduli terhadap kehormatan sesama Muslim.

3. Diam ketika melihat saudara Muslim dihina atau diperlakukan secara tidak adil boleh membawa kepada kerosakan yang lebih besar. Islam mengajarkan umatnya untuk tegas dalam mempertahankan hak dan kebenaran.

4. Melindungi maruah satu sama lain akan memperkukuh ukhuwah Islamiyah, menjadikan masyarakat lebih aman dan saling menghormati.

Marilah kita menghormati hak saudara kita dengan menjaga maruahnya dan menghalang daripada diumpat, difitnah mahupun dihina. Semoga kita akan dipelihara daripada api neraka di akhirat nanti.

Jangan sekali-kali kita terjebak dengan kelompok pengumpat dan pemfitnah dengan cara memforward sebarang mesej yang mengandungi unsur tersebut atau membiarkan tanpa pembelaan.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

26hb Jamadil Akhir 1446H
28hb Disember 2024

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makanan Paling Baik Hasil Usaha Sendiri

عَنْ الْمِقْدَامِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

Daripada Al Miqdam RA dari Rasulullah SAW baginda bersabda: "Tidak ada seseorang yang memakan satu makanan pun yang lebih baik dari makanan hasil usaha tangannya (bekerja) sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud AS. memakan makanan dari hasil usahanya sendiri." . (HR Bukhari No: 1930) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam menganjurkan umatnya supaya bekerja keras mencari rezeki dan tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Makanan paling baik yang di makan adalah datang dari hasil usaha sendiri.

2.  Pekerjaan dari hasil usaha dan penat lelah seseorang yang halal dan bersih adalah lebih baik dan barakah walaupun sedikit.

3. Islam memandang kerja sebagai satu ibadah jika dilakukan dengan niat yang betul dan bersungguh-sungguh.

4.  Bekerja untuk menyara diri serta keluarga dan menghindari dari meminta-minta adalah suatu tindakan mulia malah ia  menjadi sedekah buatnya. Hadis Nabi SAW:

عَنْ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِيكَرِبَ الزُّبَيْدِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا كَسَبَ الرَّجُلُ كَسْبًا أَطْيَبَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَمَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَخَادِمِهِ فَهُوَ صَدَقَةٌ

Daripada Al Miqdam bin Ma'dikarib Az Zubaidi dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: "Tidak ada yang lebih baik dari usaha seorang laki-laki kecuali dari hasil tangannya (bekerja) sendiri. Dan apa sahaja yang dinafkah oleh seorang laki-laki kepada diri, isteri, anak dan pembantunya adalah sedekah."  (Sunan Ibnu Majah No: 2129) Status: Hadis Sahih

Pastikan wang yang kita perolehi untuk menyara diri dan keluarga hasil daripada usaha gigih kita bekerja bukan mengharap belas kasihan pemberian orang lain.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

25hb Jamadil Akhir 1446H
27hb Disember 2024

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa  

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.' (HR Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah serta berkasih sayang sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2.  Mereka yang mendoakan sahabatnya tanpa pengetahuan orang yang didoakan, menunjukkan keikhlasan hatinya dan malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuk dirinya.

3. Mendoakan sahabat yang lain walaupun tanpa diminta mencerminkan menifestasi ukhuwah Islamiah sejati. Dia tidak hanya memikirkan kebaikan untuk dirinya malah juga untuk saudara muslim yang lain.

4.  Doa seseorang kepada sahabatnya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. (Riwayat Muslim No: 4914) Status: Hadis Sahih

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ

"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak" (HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita doakan saudara Muslim kita khususnya di Palestin diberikan kekuatan, ketabahan dan kemenangan.  Jangan lupa doakan juga pemimpin   kita dengan kebaikan. Moga dapat memacu Malaysia menjadi negara yang baik dan dirahmati.

Al-Fudhayl bin 'Iyadh berkata: "Jika aku memiliki satu doa yang mustajab, nescaya akan kudoakan (kebaikan) buat sang pemimpin" (Abu Nu'aym al-Asbahani).

Imam Ahmad bin Hanbal mewajibkan dirinya untuk mendoakan ulil amri siang dan malam supaya dikurniakan ketepatan, taufik dan pertolongan  (al-Khallal).

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

24hb Jamadil Akhir 1446H
26hb Disember 2024

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaga Iman dan Lidah

وعن سفيان بن عبد الله رضي الله عنه قال‏:‏ قلت يَا رَسُوْلَ اللهِ حَدِّثْنِيْ بِأَمْرٍ أَعْتَصِمُ بِهِ قالَ : قُلْ رَبِّيَ اللهُ، ثُمَّ اسْتَقِمْ  قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ مَا أَخْوفُ مَا تَخَافُ عَلَيَّ؟ فَأَخَذَ بِلِسَانِ نَفْسِهِ ، ثُمَّ قَال : هَذَا

Daripada Sufyan Ibnu ‘Abdillâh radhiyallaahu ‘anhu, ia berkata: “Aku berkata: “Wahai Rasûlullâh, ajarkanlah aku tentang sesuatu yang aku jadikan sebagai pegangan!” Baginda bersabda: “Katakanlah, Allâh adalah Tuhanku, kemudian istiqamahlah (dengan kalimat tadi). Aku berkata: “Wahai Rasûlullâh perkara apa yang paling engkau takutkan atasku?” Maka Rasûlullâh SAW memegang lidahnya kemudian bersabda: “Ini!” (HR Tirmizi No: 1965) Status Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menggambarkan nasihat Rasulullah SAW kepada sahabat mengenai perkara penting dalam menjaga keimanan dan kehidupan sebagai seorang Muslim iaitu menyatakan keimanan kepada Allah dengan penuh yakin dan beristiqamah di atas jalannya di samping memberi amaran tentang bahaya lisan.

2.  Keimanan kepada Allah dengan mengesakan-Nya dalam ibadah, ketaatan dan pergantungan menjadi asas dalam kehidupan Muslim.

3.  Istiqamah dalam ketaatan kepada Allah dan sentiasa memperbaiki diri dengan melaksanakan amal soleh dan menjauhi larangan adalah dituntut sebagai bukti keimanan kepada Allah SWT.

4.  Istiqamah tidak bermaksud melakukan amal yang banyak dalam satu masa, tetapi melakukan amal yang sedikit namun berterusan. Allah lebih mencintai amalan yang berterusan walaupun kecil.

5.  Rasulullah SAW memberi amaran bahawa lidah adalah salah satu bahagian tubuh yang paling berbahaya jika tidak dijaga. Banyak dosa besar berkaitan dengan lisan, dan ini memerlukan seorang Muslim untuk berhati-hati dalam setiap perkataannya.

6.  Seorang Muslim dituntut berkata perkara yang baik atau diam jika tiada perkara baik untuk diperkatakan. Rasulullah SAW mengingatkan:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata yang baik atau diam." (HR Bukhari No: 5673)

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

23hb Jamadil Akhir 1446H
25hb Disember 2024

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

20 ta oxirgi post ko‘rsatilgan.